EZ-Drive peruntuk RM24j ganti kereta sedia ada

Posted on 01 April 2015
 

DRB-HICOM EZ-Drive Sdn Bhd (EZ-Drive), pemegang francais Avis Rent A Car (Avis) yang terkemuka dalam bidang perniagaan sewa kereta, memperuntukkan lebih RM24 juta untuk menggantikan kenderaan sedia ada dengan model terkini pelbagai jenama kereta. EZ-Drive membuat pelan perluasan perniagaan untuk memberi tumpuan strategik kepada penyusunan semula sistem pengurusan pengangkutannya apabila menerima 130 kereta Proton baru bagi menggantikan kenderaan sedia ada. Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Datuk Hisham Othman berkata, dengan adanya kereta baru ini, Avis berada dalam kedudukan yang lebih berdaya saing dan mampu menawarkan perkhidmatan sewa kereta yang lebih ekonomis, selesa dan selamat kepada pelanggan. “Di bawah Kumpulan DRB-HICOM, kami yakin Avis terus mengukuhkan kecemerlangannya dan kekal berdaya saing untuk mencapai sasaran pasaran Malaysia yang lebih luas,” katanya. Syarikat ini merancang mengembangkan lagi perniagaannya ke Kota Kinabalu dan Kuching mulai Jun 2015 serta mempunyai strategi perluasan dengan pembukaan lapan rangkaian tambahan baru di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Avis juga memperluaskan koleksi kenderaannya dengan menyediakan kereta saloon eksekutif seperti Honda, Mitsubishi, Volkswagen, Isuzu dan beberapa jenama lain dalam fasa seterusnya bagi memenuhi keutamaan dan keperluan pelanggan. Sehingga kini, Alvis mempunyai lapan cawangan di seluruh negara termasuk Kompleks Ibu Pejabat EON di Glenmarie Shah Alam, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Kuala Lumpur Downtown, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Kuantan, Johor Bahru dan rangkaian Avis terkini di Holiday Inn Melaka.



«  Back

Avis Visitor Count